BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN Ahad - Hujan lebat yang melanda malam ini menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di negara ini.
Kebanyakan rumah kediaman, sebahagian jalan-jalan utama di tenggelami air bah sedalam 2 ke 3 kaki ketika hujan lebat selama dua jam sahaja.
Antara yang terjejas ialah beberapa buah rumah di Kampong Batu Ampar yang mengalami banjir.
Salah seorang penghuni Dayang Fatimah Mudim dari Kampong Batu Ampar ketika ditemui melahirkan rasa sedih setiap kali hujan turun dengan lebat, kerana ia akan menyebabkan air melimpah dan memasuki ke dalam rumahnya. Sudah banyak kali mereka terpaksa berjaga hingga larut malam untuk membersih dan menyelamatkan barangan rumah dari terus di basahi air bah.
Awang Haji Lamit Rakit yang rumahnya berada berdekatan, juga mengalami keadaan banjir apabila setiap kali hujan lebat. Beliau berharap pihak yang berkenaan akan dapat langkah-langkah perlu untuk membersihkan longkang yang ditumbuhi lalang.
Ini kerana jika keadaan ini berterusan mereka terpaksa tidur dengan dibasahi air bah dan barang-barang rumah akan mengalami kerosakan.
Menurut mereka kejadian banjir ini adalah kali keenam melanda di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan antara punca banjir ini terjadi ialah keadaan perparitan yang tersumbat akibat ditumbuhi lalang di kawasan itu.